⌨️ ڤاڤن ككونچي جاوي ملايو
بسم الله الرحمن الرحيم
📖 Dibaca: 0 / 11
📘 BUKU TEKS RASMI • BAHAGIAN KURIKULUM, JABATAN PENGAJIAN ISLAM NBD

💎 BUKU TEKS AKHLAK DARJAH VI 💎

Kandungan tepat mengikut Buku Teks Akhlak Darjah VI (Muka Surat vi hingga 71), Jabatan Pengajian Islam, Kementerian Hal Ehwal Ugama, Negara Brunei Darussalam.

🤲 DOA SEBELUM BELAJAR (Muka Surat vi)
بِسۡمِ ٱللَّهِ ٱلرَّحۡمَـٰنِ ٱلرَّحِيمِ
ٱلۡحَمۡدُ لِلَّهِ رَبِّ ٱلۡعَـٰلَمِينَ وَٱلصَّلَوٰةُ وَٱلسَّلَـٰمُ عَلَىٰٓ أَشۡرَفِ ٱلۡأَنۢبِيَآءِ وَٱلۡمُرۡسَلِينَ سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَىٰٓ ءَالِهِۦ وَصَحۡبِهِۦٓ أَجۡمَعِينَ ۞ ٱللَّهُمَّ ٱفۡتَحۡ عَلَيۡنَا حِكۡمَتَكَ وَٱنشُرۡ عَلَيۡنَا مِنۡ خَزَآئِنِ رَحۡمَتِكَ يَـٰٓأَرۡحَمَ ٱلرَّٰحِمِينَ ۞ وَصَلَّى ٱللَّهُ عَلَىٰ سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَىٰٓ ءَالِهِۦ وَصَحۡبِهِۦ وَسَلَّمَ وَٱلۡحَمۡدُ لِلَّهِ رَبِّ ٱلۡعَـٰلَمِينَ
Ertinya: Segala pujian untuk Allah, Pencipta dan Pentadbir sekalian alam, selawat dan salam ke atas semulia-mulia Nabi dan Rasul Saidina Muhammad SAW dan ke atas keluarga dan sahabat baginda sekalian. Ya Allah ya Tuhan kami, bukakanlah ke atas kami hikmah-Mu dan bentangkanlah ke atas kami gedung rahmat-Mu wahai Tuhan Yang Maha Pengasih daripada sekalian yang pengasih. Selawat dan salam ke atas Saidina Muhammad SAW dan ke atas keluarga serta sahabat baginda dan segala pujian untuk Allah, Pencipta dan Pentadbir sekalian alam.
🔍
📑 ISI KANDUNGAN BUKU TEKS AKHLAK DARJAH VI (11 PELAJARAN)
Pelajaran 1 Muka Surat 1 – 3

Taat Batin

📌 Pengertian Taat, Batin & Taat Batin

Pengertian Taat: Ialah sentiasa menurut perintah dan tidak mengingkarinya di dalam hati.

Pengertian Batin: Ialah perasaan di dalam hati seperti bertawakkal kepada Allah dan ikhlas.

Pengertian Taat Batin: Ialah perbuatan-perbuatan yang sentiasa menurut perintah Allah SWT dan tidak mengingkari perintah itu yang dilakukan di dalam hati iaitu segala perangai yang baik seperti sabar dan syukur.

💎 Sifat-sifat Taat Batin (10 Perkara)

Sifat-sifat taat batin itu banyak, antaranya ialah:

  1. Taubat.
  2. Takut kepada Allah (Al-Khauf).
  3. Meninggalkan kesenangan dunia (Az-Zuhd).
  4. Sabar.
  5. Syukur.
  6. Ikhlas.
  7. Tawakkal.
  8. Mahabbah.
  9. Redha.
  10. Ingatkan mati.
Pelajaran 2 Muka Surat 4 – 15

Taubat

📌 Pengertian Taubat & Dalil
  • Kembali ke jalan Allah SWT.
  • Menyesali akan perbuatan dosa yang telah dikerjakan.
  • Dan seterusnya berazam tidak akan melakukan perbuatan dosa lagi.
Dalil: Wajib ke atas tiap-tiap orang yang telah melakukan maksiat segera bertaubat seperti firman Allah SWT dalam Surah An-Nur ayat 31:
... وَتُوبُوٓا۟ إِلَى ٱللَّهِ جَمِيعًا أَيُّهَ ٱلۡمُؤۡمِنُونَ لَعَلَّكُمۡ تُفۡلِحُونَ ﴿٣١﴾
“Dan bertaubatlah kamu sekalian kepada Allah wahai orang-orang yang beriman mudah-mudahan kamu beroleh kemenangan.” (Surah An-Nur: 31)
🎯 Tujuan, Kedudukan & Hukum Bertaubat

Tujuan Taubat: Untuk mendekatkan diri kepada Allah SWT iaitu:

  • Dengan menyembahkan taat setia kepada Allah SWT semata-mata.
  • Dengan cara mengerjakan segala suruhan Allah SWT dan meninggalkan segala larangan-Nya.

Kedudukan Orang yang Bertaubat di Sisi Allah SWT: Orang yang bertaubat di sisi Allah akan dikasihi dan disukai oleh Allah SWT.

Firman Allah SWT dalam Surah Al-Baqarah ayat 222:
... إِنَّ ٱللَّهَ يُحِبُّ ٱلتَّوَّٰبِينَ وَيُحِبُّ ٱلۡمُتَطَهِّرِينَ ﴿٢٢٢﴾
“Sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang yang banyak bertaubat dan mengasihi orang-orang yang sentiasa mensucikan diri.” (Surah Al-Baqarah: 222)
Sabda Rasulullah SAW:
ٱلتَّائِبُ حَبِيبُ ٱللَّهِ، وَٱلتَّائِبُ مِنَ ٱلذَّنۡبِ كَمَنۡ لَا ذَنۡبَ لَهُۥ
“Orang yang bertaubat adalah kekasih Allah, dan orang yang bertaubat daripada dosa (dan taubatnya diterima oleh Allah) ialah seperti orang yang tidak ada dosa.” Maksudnya Allah telah mengampunkan dosanya yang terdahulu itu.

Hukum Bertaubat: Bertaubat adalah wajib ke atas tiap-tiap orang yang melakukan maksiat.

💡 Perkara yang Mendorong Seseorang untuk Bertaubat (3 Perkara)
  1. Ia telah menginsafi bahawa jika ia melakukan maksiat dan dosa akan mendatangkan kecelakaan dan kebinasaan kepada dirinya.
  2. Ia telah menginsafi bahawa Allah SWT akan mengazab dengan azab yang sangat berat dan pedih; ia tidak akan tertanggung azab atas perbuatan maksiat dan dosa itu.
  3. Ia telah menginsafi dan mengakui bahawa ia adalah manusia yang sangat lemah; ia tidak mempunyai kekuatan atau kuasa untuk menolak azab Allah SWT itu.
✅ Syarat-syarat Taubat

Syarat-syarat taubat ada tiga perkara iaitu:

  1. Hendaklah dia meninggalkan perbuatan maksiat dan dosa itu.
  2. Hendaklah dia menyesali perbuatan maksiat dan dosa yang telah dilakukan.
  3. Hendaklah dia berazam dengan bersungguh-sungguh tidak akan mengulangi perbuatan maksiat dan dosa untuk selama-lamanya.

* Jika ia melakukan dosa antara sesama manusia, maka hendaklah ditambah syarat keempat:

  • (4) Hendaklah ia mengembalikan hak orang yang dizaliminya, atau hendaklah ia meminta halalkan perkara yang telah dilakukannya, atau hendaklah ia memohon maaf terlebih dahulu kepada orang yang dizaliminya.
⚠️ Pengertian Dosa, Jenis Dosa & Cara Bertaubat Daripada Dosa Besar
  • Pengertian Dosa: Ialah perbuatan yang bertentangan dengan hukum Allah SWT. Perbuatan dosa akan menjauhkan kita daripada rahmat Allah SWT dan pembuat dosa akan menerima azab daripada Allah SWT.
  • (1) Dosa Kecil: Ialah dosa yang boleh diampunkan oleh Allah SWT dengan membanyakkan amal ibadat dan amal kebajikan.
  • (2) Dosa Besar: Ialah dosa yang tidak boleh diampunkan oleh Allah SWT kecuali dengan cara bertaubat menurut syarat-syaratnya.
A. Dosa Besar kepada Allah Semata-mata
(1) Dosa mengerjakan perkara yang haram (Contoh: minum arak, berjudi, berzina, makan babi, makan riba, rasuah): Hanya akan diampunkan oleh Allah dengan cara bertaubat menurut syarat-syaratnya.

(2) Dosa meninggalkan perkara yang wajib (Contoh: meninggalkan sembahyang fardu lima waktu, tidak berpuasa di bulan Ramadhan): Akan diampunkan oleh Allah SWT dengan cara: (i) Hendaklah diqadha terlebih dahulu perkara wajib yang ditinggalkan itu, (ii) Sesudah itu barulah bertaubat.
B. Dosa Besar kepada Allah & Sesama Manusia
(1) Menzalimi hak orang (mencuri/merampas harta): (i) Mengembalikan hak orang atau (ii) Minta dihalalkan, (iii) Kemudian barulah bertaubat.
(2) Membunuh atau melukakan orang: Menyerahkan diri kepada waris orang yang (i) dibunuhnya atau (ii) dilukainya, (iii) atau meminta dihalalkan apa yang berlaku, (iv) kemudian bertaubat.
(3) Mengumpat atau memaki orang: Berjumpa orang tersebut, (i) minta halalkan, (ii) mengaku bahawa apa yang dikatakannya adalah dusta, (iii) kemudian bertaubat.
(4) Khianat kepada isteri atau anak orang dan (5) Menuduh orang sebagai kafir/bidaah/sesat: Bertaubat dan memohon kepada Allah supaya dihalalkan pada Hari Kiamat nanti.
Pelajaran 3 Muka Surat 16 – 21

Takut Kepada Allah (Al-Khauf)

📌 Pengertian Takut kepada Allah (Al-Khauf) & Dalil

Pengertian: Sifat takut kepada Allah (Al-Khauf) ialah hati merasa gementar dan kecut terhadap kebesaran dan kekuasaan Allah SWT, serta takut akan kemurkaan Allah SWT.

Dalil: Firman Allah SWT dalam Surah Al-Anfal ayat 2:
إِنَّمَا ٱلۡمُؤۡمِنُونَ ٱلَّذِينَ إِذَا ذُكِرَ ٱللَّهُ وَجِلَتۡ قُلُوبُهُمۡ وَإِذَا تُلِيَتۡ عَلَيۡهِمۡ ءَايَـٰتُهُۥ زَادَتۡهُمۡ إِيمَـٰنًا وَعَلَىٰ رَبِّهِمۡ يَتَوَكَّلُونَ ﴿٢﴾
“Sesungguhnya orang-orang yang (benar-benar) beriman itu ialah mereka yang apabila disebut nama Allah gementarlah hati mereka dan apabila dibacakan kepada mereka ayat-ayat-Nya bertambahlah (kuat) iman mereka dan hanya kepada Tuhan mereka sahajalah mereka bertawakkal.” (Surah Al-Anfal: 2)
🔥 Pendorong & Manfaat Rasa Takut kepada Allah SWT

Pendorong rasa takut akan Allah SWT ialah (3 perkara):

  1. Sifat beriman kepada Allah SWT.
  2. Mengenal dan mendalami sifat-sifat ketuhanan bagi Allah SWT.
  3. Mengenal dan mendalami kekuasaan dan kebesaran Allah SWT yang menjadikan segala alam ini.

Manfaat timbulnya perasaan takut kepada Allah (Al-Khauf), antaranya ialah:

  • Manusia akan lebih berusaha untuk menjaga dan memelihara diri daripada mendapat kemurkaan Allah SWT.
  • Manusia akan mengerjakan segala suruhan Allah SWT dan meninggalkan segala larangan-Nya.
🌟 Kelebihan & Janji Allah kepada Orang yang Takut kepada-Nya
(1) Mengurniakan Petunjuk (Hidayah)
Ia akan mendapat pimpinan dan bimbingan daripada Allah SWT sehingga ia mendapat kemudahan dalam berbuat amal ibadat dan taat kepada Allah SWT.
(2) Mengurniakan Rahmat
Ia akan mendapat belas kasihan, berkat, kebahagiaan dan faedah daripada Allah SWT. Firman Allah (Surah Al-A'raf: 154): “Petunjuk dan rahmat untuk orang yang merasa gerun kepada Tuhan mereka.”
(3) Mengurniakan Ilmu
Ia akan mendapat ilmu pengetahuan daripada Allah SWT untuk berbuat amal ibadat dan perkara berkebajikan. Firman Allah (Surah Fatir: 28): “Sesungguhnya yang takut kepada Allah di kalangan hamba-hamba-Nya hanyalah ulama.”
(4) Mengurniakan Keredhaan
Allah SWT menerimanya dengan kesukaan. Firman Allah (Surah Al-Bayyinah: 8): “Allah redha terhadap mereka dan mereka pula redha terhadap-Nya.”
Janji Allah SWT kepada Orang yang Takut kepada Allah (Al-Khauf): Allah SWT menjanjikan Syurga kepada orang yang takut kepada Allah. Firman Allah SWT dalam Surah An-Nazi'at ayat 40 – 41:
وَأَمَّا مَنۡ خَافَ مَقَامَ رَبِّهِۦ وَنَهَى ٱلنَّفۡسَ عَنِ ٱلۡهَوَىٰ ﴿٤٠﴾ فَإِنَّ ٱلۡجَـنَّةَ هِيَ ٱلۡمَأۡوَىٰ ﴿٤١﴾
“Dan adapun orang yang takutkan kebesaran Tuhannya dan dia menahan dirinya daripada menurut hawa nafsunya maka sesungguhnya Syurga ialah tempat tinggalnya.” (Surah An-Nazi'at: 40–41)
Pelajaran 4 Muka Surat 22 – 28

Meninggalkan Kesenangan Dunia (Az-Zuhd)

📌 Pengertian Meninggalkan Kesenangan Dunia (Az-Zuhd) & Dalil
  • Adanya perasaan benci di dalam hati terhadap kesenangan dunia ini.
  • Dan sebaliknya hati menyukai berbuat taat kepada Allah SWT untuk mendapat kesenangan di akhirat nanti.
Dalil: Sabda Rasulullah SAW:
ٱزۡهَدۡ فِي ٱلدُّنۡيَا يُحِبَّكَ ٱللَّهُ، وَٱزۡهَدۡ فِيمَا فِيٓ أَيۡدِي ٱلنَّاسِ يُحِبَّكَ ٱلنَّاسُ
“Janganlah gemarkan dunia nescaya Allah kasihkan engkau, dan janganlah gemarkan barang yang di dalam tangan orang, nescaya orang kasihkan engkau.”

Perkara yang Ingin Dicapai oleh Orang yang Zuhud (3 perkara): (1) Ia ingin menghampirkan dirinya kepada Allah SWT, (2) Ia ingin menjauhkan dirinya daripada kesenangan dunia yang sia-sia, (3) Ia ingin mendapat kesenangan yang kekal di akhirat kelak.

Kelebihan Orang yang Zuhud: (1) Allah SWT mengurniakan hikmah (ilmu hakikat) di dalam hatinya maka lidahnya akan lancar berkata-kata dengan hikmah, (2) Allah SWT memberitahu kepadanya akan penyakit dan kejahatan dunia serta ubatnya, (3) Allah SWT akan mengeluarkannya daripada dunia ini menuju ke alam akhirat dalam keadaan aman dan sejahtera.

📊 Martabat Zuhud & Hukum Memiliki Harta Menurut Syarak
Martabat Zuhud pada Makanan (3 Bahagian)
(1) Martabat yang utama: Makan hanya untuk menghilangkan lapar pada ketika itu sahaja.
(2) Martabat pertengahan: Berusaha dan menyimpan sesuatu untuk makanan bagi tempoh satu bulan hingga 40 hari.
(3) Martabat yang rendah: Berusaha dan menyimpan sesuatu untuk makanan bagi tempoh satu tahun.
Martabat Zuhud (3 Perkara) & Zuhud Arifin
(1) Permulaan zuhud: Meninggalkan kesenangan dunia padahal hatinya suka dan cenderung kepadanya tetapi berusaha menghilangkannya.
(2) Pertengahan zuhud: Hati benci dan tidak suka kepada kesenangan dunia kerana tidak boleh berhimpun dengan kesenangan akhirat.
(3) Kesempurnaan zuhud: Hati tidak suka dan tidak membenci kesenangan dunia kerana sama sahaja harta itu ada atau tiada.
Martabat terlebih sempurna: Zuhud Arifin (زُهُودُ عَارِفِينَ) — hati tidak berpaling kepada sesuatu yang lain daripada Allah SWT.

Hukum Memiliki Harta Menurut Syarak: (1) Berdoa dikurniakan harta halal: tidak haram dan tidak makruh; (2) Berusaha mendapatkan harta halal: disuruh oleh syarak; (3) Mengumpul harta halal untuk zakat, sedekah, wakaf, menolong orang susah: digalakkan oleh syarak; (4) Menggunakan harta halal untuk perkara haram seperti berjudi atau membeli/minum arak: haram hukumnya.

Pelajaran 5 Muka Surat 29 – 36

Sabar

📌 Pengertian Sabar & Dalil
  • Sifat sabar ialah menahan diri daripada marah terhadap sesuatu yang tidak disukai,
  • Dan menahan lidah daripada mengadukan sesuatu hal penderitaan kepada orang lain selain daripada Allah SWT,
  • Termasuklah juga sifat sabar itu ialah sifat tidak terburu-buru, tenang, tidak putus asa dan tidak lekas marah.

Penerangan maksud “sesuatu yang tidak disukai”: Kita hendaklah bersifat sabar dalam semua keadaan termasuklah dalam hal-hal seperti: (1) Penderitaan, (2) Kesakitan, (3) Kesusahan.

Dalil: Firman Allah SWT dalam Surah Al-Anfal ayat 46:
... وَٱصۡبِرُوٓا۟ ۚ إِنَّ ٱللَّهَ مَعَ ٱلصَّـٰبِرِينَ ﴿٤٦﴾
“Dan sabarlah kamu, kerana Allah SWT adalah beserta dengan orang-orang yang sabar.” (Surah Al-Anfal: 46)
⚖️ Hukum Bersifat Sabar, Kelebihan & Martabat Sabar
Hukum Bersifat Sabar (Wajib & Sunat)
(1) Wajib: (i) Dalam melakukan perbuatan taat kepada Allah SWT dan meninggalkan perbuatan maksiat; (ii) Ketika ditimpa oleh bala bencana dan segala kesakitan.
(2) Sunat: (i) Melakukan perbuatan sunat; (ii) Meninggalkan perbuatan makruh; (iii) Melakukan atau meninggalkan perbuatan mubah (harus); (iv) Meninggalkan kesenangan dunia yang lebih daripada diperlukan; (v) Ketika disakiti orang dengan tidak membalasnya; (vi) Ketika dizalimi orang dengan tidak membalasnya.
Kelebihan Orang yang Sabar (6 Perkara)
(1) Mempunyai kedudukan yang tinggi di sisi Allah SWT.
(2) Mendapat ampun dan rahmat serta petunjuk daripada Allah SWT.
(3) Mendapat balasan yang lebih baik daripada Allah SWT.
(4) Dijadikan imam yang memberi petunjuk.
(5) Ia adalah orang yang beriman.
(6) Memiliki perbendaharaan Syurga.

Martabat Sabar (3 Bahagian): (1) Sabar orang awam (kebanyakan): Sanggup menerima kesusahan dan kesakitan kerana didorong oleh mahukan pahala sabar dan takut seksa Allah; (2) Sabar orang muridin: Menerima kesusahan dan kesakitan semata-mata kerana Allah SWT mengikut suruhan-Nya (bukan kerana pahala atau takut seksa); (3) Sabar orang-orang zahidin dan salikin: Menerima dengan sabar dan hati redha segala hukum Allah SWT yang telah tersurat di Luh Mahfuz.

Pelajaran 6 Muka Surat 37 – 44

Syukur

📌 Pengertian Syukur, Dalil & Hakikat Syukur

Pengertian Syukur: Syukur ialah terima kasih. Ia adalah suatu perayaan gembira kerana sesuatu nikmat yang dikurniakan oleh Allah SWT.

Dalil: Firman Allah SWT dalam Surah Ali 'Imran ayat 144:
... وَسَيَجۡزِي ٱللَّهُ ٱلشَّـٰكِرِينَ ﴿١٤٤﴾
“Dan (sebaliknya) Allah akan mengurniakan balasan ganjaran kepada orang-orang yang bersyukur (atas nikmat-Nya).” (Surah Ali 'Imran: 144)

Hakikat Syukur kepada Allah SWT mengandungi tiga perkara pokok iaitu:

  1. Mengetahui bahawa segala nikmat itu adalah kurnia daripada Allah SWT (jika datang daripada orang lain maka itu adalah “sebab” semata-mata).
  2. Nikmat daripada Allah SWT itu hendaklah dijunjung dengan merendahkan diri iaitu mengasihi Allah SWT, menakutkan Allah SWT dan merendahkan diri dan hati kepada-Nya.
  3. Nikmat daripada Allah SWT itu hendaklah diperlakukan menurut yang disukai oleh Allah SWT iaitu pada mengerjakan segala ibadat dengan ikhlas dan tidak melakukan maksiat.
👁️ Menggunakan Nikmat Anggota & Kelebihan Orang Bersyukur
  • (1) Mata: Melihat Al-Quran, kitab ilmu pengetahuan yang berkebajikan, langit dan bumi serta makhluk Allah untuk memerhatikan kebesaran-Nya (bukan perkara haram/ditegah syarak).
  • (2) Telinga: Mendengar bacaan Al-Quran, ilmu pengetahuan yang berkebajikan dan zikir (jangan mendengar perkara haram, makruh dan sia-sia).
  • (3) Lidah: Berzikir mengingati Allah SWT, membaca Al-Quran, mengucap syukur dan Alhamdulillah.
  • (4) Tangan & (5) Perut: Tidak digunakan untuk memegang/menjamah atau diisi dengan makanan dan minuman yang diharamkan oleh Allah SWT.

Kelebihan Orang Bersyukur: (1) Allah SWT menambah lagi akan nikmat-Nya; (2) Allah SWT membalas dengan pahala yang besar.
Kedudukan Orang yang Bersyukur: (1) Orang kaya yang bersyukur mempunyai kedudukan yang sama dengan orang berpuasa yang sabar; (2) Orang yang bersyukur di atas segala hal digelar sebagai Hammadun (حَمَّادُونَ) iaitu orang-orang yang memuji Allah SWT (di akhirat diberikan satu panji-panji dan dimasukkan ke dalam Syurga).

Pelajaran 7 Muka Surat 45 – 49

Ikhlas

📌 Pengertian Ikhlas & Dalil

Pengertian Ikhlas: Ikhlas ialah suci hati dalam melakukan sesuatu perbuatan semata-mata kerana Allah, bukan untuk mendapatkan sesuatu keuntungan atau menolak sesuatu bencana di sebalik perbuatan itu.

Dalil (Sabda Rasulullah SAW):
(i) أَخۡلِصۡ دِينَكَ يَكۡفِكَ ٱلۡعَمَلُ ٱلۡقَلِيلُ
“Laku ikhlaslah dalam amalan agamamu, memadailah bagimu amalan yang sedikit.”
(ii) إِنَّ ٱللَّهَ عَزَّ وَجَلَّ لَا يَقۡبَلُ مِنۡ أَعۡمَالٍ إِلَّا مَا كَانَ لَهُۥ خَالِصًا وَٱبۡتَغَىٰ وَجۡهَهُۥ
“Bahawasanya Allah SWT tidak menerima sesuatu daripada amalan-amalan melainkan amalan yang ikhlas kerana Allah dan amalan yang dibuat semata-mata kerana Zat Allah.”
✨ Perbuatan Ikhlas (6 Tempat) & Kelebihannya
  1. Ikhlas pada perkataan: Ikhlas dan benar pada setiap perkataan, masa dan setiap kelakuannya.
  2. Ikhlas pada niat: Ikhlas dan benar pada niat dalam membuat sesuatu perkara yang berkebajikan itu semata-mata kerana Allah SWT.
  3. Ikhlas pada cita-cita: Ikhlas dan benar pada cita-cita itu, umpamanya seseorang berniat untuk mendapatkan harta supaya dapat ia bersedekah.
  4. Ikhlas pada menyempurnakan cita-citanya itu: Ikhlas dalam berusaha untuk mencapai dan menyempurnakan cita-citanya itu dan tidak mengubah cita-cita tersebut.
  5. Ikhlas dalam pekerjaan: Perbuatan-perbuatan anggota zahir itu adalah bersamaan dan bersesuaian dengan apa yang diniatkan di dalam hati.
  6. Ikhlas dalam amalan batin: Ikhlas dan benar dalam segala amalan batin yang telah menjadi tabiat iaitu sifat-sifat yang terpuji seperti redha dan tawakkal.

Kelebihan Perbuatan Ikhlas (3 perkara):
(i) Allah SWT menerima ibadat hamba-Nya yang dilakukan dengan tulus ikhlas (Firman Allah dalam Surah Al-Bayyinah ayat 5: “وَمَآ أُمِرُوٓا۟ إِلَّا لِيَعۡبُدُوا۟ ٱللَّهَ مُخۡلِصِينَ” — Padahal mereka tidak diperintahkan melainkan untuk menyembah Allah dengan mengikhlaskan ibadat kepada-Nya semata-mata).
(ii) Sebagai penyuluh hidayah.
(iii) Orang ikhlas disenangi dan disayangi oleh Allah SWT dan masyarakat.

Pelajaran 8 Muka Surat 50 – 60

Tawakkal

📌 Pengertian Tawakkal, Unsur & Dalil

Pengertian Tawakkal: Sifat tawakkal ialah menyerah diri kepada Allah SWT dan mengharapkan pertolongan setelah berusaha dan berikhtiar dengan sedaya upaya. Contohnya: Seseorang yang sakit mestilah berusaha dengan memakan ubat untuk sembuh; setelah memakan ubat itu maka ia bertawakkal kepada Allah SWT untuk menyembuhkannya.

Dalil: Firman Allah SWT dalam Surah Ali 'Imran ayat 159:
... إِنَّ ٱللَّهَ يُحِبُّ ٱلۡمُتَوَكِّلِينَ ﴿١٥٩﴾
Bermaksud: “Sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang yang bertawakkal.” (Surah Ali 'Imran: 159)

Unsur-unsur Tawakkal (3 perkara): (1) Kepercayaan kepada Allah SWT, (2) Berusaha dan berikhtiar, (3) Memohon pertolongan daripada Allah SWT.

🧭 Bahagian Usaha Orang yang Bertawakkal (4 Bahagian)
  1. Menghasilkan manfaat yang belum ada (terbahagi kepada 3 bahagian): (i) Manfaat menurut adat tidak boleh didapati sekali-kali melainkan dengan adanya usaha (contoh: mencapai hidangan makanan dengan tangan); (ii) Manfaat kadang-kadang boleh didapati walaupun tidak ada usaha (contoh: orang belayar tidak membawa bekal makanan); (iii) Manfaat menurut adat dapat dihasilkan dengan tidak payah berusaha (contoh: seseorang yang hidupnya senang segala hajat keperluannya dapat dipenuhi).
  2. Memelihara manfaat yang telah ada: (i) Bagi orang yang tidak ada tanggungannya: menyimpan harta untuk keperluan sendiri bagi satu tahun (lebih mencukupi) = Batal tawakkal; menyimpan harta bagi tempoh 40 hari = Tidak batal tawakkal. (ii) Bagi orang yang ada tanggungannya: menyimpan harta untuk keperluan keluarganya = Tidak batal tawakkal.
  3. Menolak mudarat yang akan datang: Menjaga diri dari kebinasaan atau kecelakaan yang mungkin menimpa kita (contoh: lari dari binatang buas).
  4. Menolak mudarat yang telah ada: Berusaha dan berikhtiar menghilangkan mudarat yang telah menimpa diri kita (contoh: orang sakit berusaha untuk sembuh dengan memakan ubat).
🏆 3 Martabat Tawakkal & Kedudukan Orang Bertawakkal
(1) Martabat Pertama: Percaya kepada Allah SWT
Percaya kepada Allah dan mengakui sifat Pemurah dan Penyayang-Nya (contoh: percaya kepada wakilnya yang amanah). Pendapat Imam Al-Ghazali: Melakukan usaha, ikhtiar serta tadbir bagi menghasilkan tawakkalnya itu.
(2) Martabat Kedua: Berserta dengan Allah SWT
Yakin bahawa Allah SWT berserta dengannya dalam setiap perbuatannya (contoh: kanak-kanak kecil yang mengharapkan ibunya semata-mata). Pendapat Imam Al-Ghazali: Terasa di dalam hati bahawa ia tidak mempunyai usaha, ikhtiar dan tadbir tetapi ia berdoa dan meminta hajat kepada Allah SWT.
(3) Martabat Ketiga: Berserah kepada Allah SWT (Martabat Siddiqin)
Menyerahkan diri dan pekerjaan kepada Allah semata-mata (contoh: keadaan mayat di hadapan orang yang memandikannya). Pendapat Imam Al-Ghazali: Redha akan apa-apa jua yang didatangkan oleh Allah dengan menafikan di dalam hati adanya usaha, ikhtiar dan tadbir. Dinamakan Martabat Siddiqin (مرتبة صديقين).

Kedudukan Orang yang Bertawakkal di Sisi Allah SWT: (1) Allah SWT kasih kepada mereka; (2) Orang yang bertawakkal itu menandakan keimanannya yang kuat; (3) Allah SWT tempat bergantung bagi orang yang bertawakkal.

Pelajaran 9 Muka Surat 61 – 65

Mahabbah

📌 Pengertian Mahabbah & Dalil

Pengertian Mahabbah: Sifat mahabbah ialah kecenderungan hati kepada sesuatu yang disukai oleh tingkah laku menurut kehendak Allah SWT dan kerana Allah SWT. Ringkasnya ialah kasih kepada Allah SWT.

Dalil: Firman Allah SWT dalam Surah Ali 'Imran ayat 31:
قُلۡ إِن كُنتُمۡ تُحِبُّونَ ٱللَّهَ فَٱتَّبِعُونِي يُحۡبِبۡكُمُ ٱللَّهُ وَيَغۡفِرۡ لَكُمۡ ذُنُوبَكُمۡ ۗ وَٱللَّهُ غَفُورࣱ رَّحِيمٌ ﴿٣١﴾
Katakanlah wahai Nabi Muhammad: “Jika kamu mengasihi Allah maka ikutilah aku, nescaya Allah mengasihi kamu dan mengampuni dosa-dosa kamu. Dan Allah Maha Pengampun lagi Maha Pengasih.” (Surah Ali 'Imran: 31)

Cara Ahli-ahli Tasawuf Mengasihi Sesuatu: Ahli tasawuf tidak mengasihi sesuatu melainkan Allah SWT kerana setiap sesuatu itu datang daripada Allah SWT; dengan sendirinya mereka kasih akan segala makhluk ciptaan-Nya (seperti kasih kepada Nabi Muhammad SAW bererti kasih kepada Allah SWT).

❤️ Bahagian, Tanda & Kelebihan Kasih kepada Allah SWT
  • Bahagian Kasih kepada Allah SWT (2 bahagian):
    (1) Fardu: Mentaati dan mengerjakan segala ibadat fardu, menjauhkan diri dari segala larangan Allah SWT, serta redha dengan segala qadha dan qadar-Nya.
    (2) Sunat: Mentaati dan mengerjakan ibadat-ibadat sunat serta menjauhkan diri daripada perkara-perkara syubhat.
  • Tanda Kasih kepada Allah SWT (3 perkara): (1) Mendahulukan perbuatan yang disuruh oleh Allah SWT daripada perbuatan yang disukai oleh hawa nafsu; (2) Timbul perasaan suka kepada mati; (3) Timbul perasaan benci kepada kesenangan-kesenangan dunia yang sia-sia.
  • Kelebihan Orang yang Kasih kepada Allah SWT (3 perkara): (1) Allah SWT kasih akan mereka; (2) Allah SWT membalas kasih hamba-Nya dengan kasih juga; (3) Kasih kepada Allah SWT sebagai tanda kesempurnaan iman.
Pelajaran 10 Muka Surat 66 – 69

Redha Dengan Qadha dan Qadar

📌 Pengertian Redha, Qadha, Qadar & Dalil

Pengertian Redha dengan Qadha dan Qadar: Ialah menerima sesuatu hukum yang didatangkan oleh Allah SWT sama ada suka atau duka dengan hati yang tenang dan lapang, kerana semua itu sudah ditentukan sejak azali.

Penerangan Qadha dan Qadar:
• Qadha: Ialah kejadian atau hukum yang terjadi ke atas manusia seperti suka dan duka, kaya dan miskin.
• Qadar: Ialah ukuran atau sukatan yang ditetapkan oleh Allah SWT ke atas tiap-tiap makhluk.

Dalil (Hadith Qudsi): Rasulullah SAW ada bersabda dari Hadith Qudsi:
فَمَنۡ لَمۡ يَصۡبِرۡ عَلَىٰ بَلَآئِي، وَلَمۡ يَشۡكُرۡ لِنَعۡمَآئِي، وَلَمۡ يَرۡضَ لِقَضَآئِي، فَلۡيَطۡلُبۡ رَبًّا سِوَآئِي
“Maka barangsiapa tidak sabar menanggung bala bencana-Ku, dan tidak bersyukur di atas nikmat-Ku dan tidak redha kepada qadha-Ku, maka hendaklah ia mencari Tuhan yang lain daripada Aku.”
⚖️ Redha dengan Hukum Allah & Kelebihan Orang yang Redha

Redha dengan Hukum Allah SWT (Tentang Maksiat & Kufur): Redha dengan hukum Allah tidaklah semestinya bermaksud redha kepada maksiat dan kufur kerana ia dilihat dari dua sudut:
(1) Dari segi keadaannya terjadi dengan qadha dan qadar daripada Allah SWT: maka wajib kita redha dengan hukum Allah SWT itu.
(2) Dari segi zahir keadaan sama ada terbit daripada hamba Allah SWT, sifat atau perbuatan mereka: maka tidak wajib redha kepada maksiat dan kufur itu.

Kelebihan-kelebihan Orang yang Redha (4 perkara):
(i) Orang yang redha akan diberi ganjaran Syurga.
(ii) Redha adalah lambang ketaatan.
(iii) Orang yang redha ialah orang pilihan Allah SWT atau orang yang dipilih oleh Allah SWT.
(iv) Orang yang tidak redha adalah orang yang dimurkai oleh Allah SWT.

Pelajaran 11 Muka Surat 70 – 71

Ingatkan Mati

📌 Pengertian, Hukum & Dalil Ingatkan Mati
  • Pengertian Ingatkan Mati: Bermaksud kita semua pasti akan mati, mati itu mesti datang kepada kita maka kita tidak dapat mengelak diri daripada menemui kematian.
  • Hukum: Maka adalah sunat hukumnya selalu mengingati mati.
Dalil: Firman Allah SWT mengenai mati dalam Surah Al-Jumu'ah ayat 8:
... قُلۡ إِنَّ ٱلۡمَوۡتَ ٱلَّذِي تَفِرُّونَ مِنۡهُ فَإِنَّهُۥ مُلَـٰقِيكُمۡ ... ﴿٨﴾
Katakanlah: “Sesungguhnya kematian yang kamu lari daripadanya itu tetap akan menemui kamu (juga).” (Surah Al-Jumu'ah: 8)
🌟 Faedah Ingatkan Mati & Pendapat Al-Imam Al-Ghazali

Faedah Ingatkan Mati (4 perkara):
(i) Terpelihara dirinya daripada perbuatan-perbuatan maksiat.
(ii) Allah mendatangkan rahmat dalam kehidupan.
(iii) Dihimpunkan bersama-sama dengan orang mati syahid.
(iv) Sebagai pengajaran dalam menjalani kehidupan.

Pendapat Al-Imam Al-Ghazali: Barang siapa yang selalu ingatkan mati itu akan mendapat dua faedah:
(1) Pendek angan-angan terhadap kesenangan dunia yang tidak memberi faedah kepadanya di akhirat kelak.
(2) Rindu dan ingin kepada akhirat.

Tiada pelajaran atau kata kunci yang sepadan dengan carian biskita. Cuba kata kunci lain!
⬆️ Atas