Hijrah Rasulullah SAW ke Madinah
Setelah sepuluh tahun Rasulullah SAW menyampaikan seruan agama Islam kepada orang-orang Makkah, kaum Quraisy semakin memberikan tentangan hebat kepada baginda, lebih-lebih lagi selepas wafatnya isteri baginda Saidatina Khadijah r.a. dan bapa saudara baginda Abu Talib.
Oleh yang demikian Rasulullah SAW menyebarkan seruan agama Islam kepada orang-orang luar Kota Makkah terutamanya para jemaah haji dari Yathrib (Madinah) yang mengunjungi Kota Makkah pada setiap tahun. Dakwah Rasulullah SAW itu semakin hari mendapat sambutan termasuklah Islamnya sekumpulan penduduk-penduduk Madinah yang terdiri daripada kaum Aus dan kaum Khazraj.
Rasulullah SAW telah menghantar seorang sahabat yang pandai membaca Al-Quran dan tahu hal ehwal hukum Islam bernama Mus'ab bin Umair pergi ke Madinah untuk mengajar dan memimpin orang-orang Madinah yang telah memeluk Islam di samping untuk berdakwah di Madinah. Mus'ab telah berjaya memberi pelajaran kepada penduduk Madinah sehingga ramai di antara orang-orang kenamaan dan pembesarnya memeluk agama Islam.
Perkembangan penyebaran Islam di Madinah ketika itu telah membimbangkan kaum Quraisy Makkah dan mereka merasa terancam terhadap kepentingan mereka khasnya dari segi kepimpinan dan pengaruh serta kedudukan mereka di kalangan bangsa Arab. Apabila mengetahui bahawa baginda akan berpindah ke Madinah, mereka berkumpul dan bermesyuarat di sebuah rumah bernama Darul Nadwah dan mereka bersepakat hendak membunuh baginda.
Pada malam keberangkatan Rasulullah SAW untuk menuju Madinah, baginda meminta Saidina Ali bin Abi Talib r.a. (sepupunya) supaya tidur di tempat tidurnya dengan menggunakan kain selimutnya. Saidina Ali bin Abi Talib r.a. menerima permintaan itu dengan rela hati walaupun perkara itu akan membahayakan diri dan nyawanya.
Pada malam itu rumah Rasulullah SAW dikepung oleh pemuda-pemuda Quraisy dengan pedang terhunus menunggu baginda. Baginda berjaya keluar dengan selamat bersama Saidina Abu Bakar As-Siddiq r.a. kemudian menuju ke Gua Thur yang jauhnya kira-kira 8 kilometer dari Kota Makkah dan mereka bersembunyi selama tiga hari. Peristiwa itu berlaku pada tahun 622 Masihi dan dari peristiwa tersebut bermulanya perkiraan tahun Hijrah dalam Islam.
- Apa tindakan kaum Quraisy Makkah terhadap Rasulullah SAW selepas kewafatan isteri dan bapa saudara baginda?
- Siapa sahabat Rasulullah SAW yang dihantar ke Madinah untuk mengajar dan memimpin orang Islam di sana?
- Mengapa hijrah Rasulullah SAW itu menjadi kebimbangan kepada kaum Quraisy?
- Apa yang dilakukan oleh kaum Quraisy apabila mengetahui Rasulullah SAW akan berpindah ke Madinah?
- Siapa yang turut bersama-sama Rasulullah SAW ketika baginda keluar meninggalkan Kota Makkah untuk menuju Madinah dan di mana mereka bersembunyi?