⌨️ ڤاڤن ككونچي جاوي ملايو
بسم الله الرحمن الرحيم
📖 Dibaca: 0 / 10
📘 BUKU TEKS RASMI • BAHAGIAN KURIKULUM, JABATAN PENGAJIAN ISLAM NBD

☝️ BUKU TEKS TAUHID DARJAH VI ☝️

Kandungan tepat mengikut Buku Teks Tauhid Darjah VI (Muka Surat vi hingga 36), Kementerian Hal Ehwal Ugama, Negara Brunei Darussalam.

🤲 DOA SEBELUM BELAJAR (Muka Surat vi)
بِسۡمِ ٱللَّهِ ٱلرَّحۡمَـٰنِ ٱلرَّحِيمِ
ٱلۡحَمۡدُ لِلَّهِ رَبِّ ٱلۡعَـٰلَمِينَ وَٱلصَّلَوٰةُ وَٱلسَّلَـٰمُ عَلَىٰٓ أَشۡرَفِ ٱلۡأَنۢبِيَآءِ وَٱلۡمُرۡسَلِينَ سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَىٰٓ ءَالِهِۦ وَصَحۡبِهِۦٓ أَجۡمَعِينَ ۞ ٱللَّهُمَّ ٱفۡتَحۡ عَلَيۡنَا حِكۡمَتَكَ وَٱنشُرۡ عَلَيۡنَا مِنۡ خَزَآئِنِ رَحۡمَتِكَ يَـٰٓأَرۡحَمَ ٱلرَّٰحِمِينَ ۞ وَصَلَّى ٱللَّهُ عَلَىٰ سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَىٰٓ ءَالِهِۦ وَصَحۡبِهِۦ وَسَلَّمَ وَٱلۡحَمۡدُ لِلَّهِ رَبِّ ٱلۡعَـٰلَمِينَ
Ertinya: Segala pujian untuk Allah, Pencipta dan Pentadbir sekalian alam, selawat dan salam ke atas semulia-mulia Nabi dan Rasul Saidina Muhammad SAW dan ke atas keluarga dan sahabat baginda sekalian. Ya Allah ya Tuhan kami, bukakanlah ke atas kami hikmah-Mu dan bentangkanlah ke atas kami gedung rahmat-Mu wahai Tuhan Yang Maha Pengasih daripada sekalian yang pengasih. Selawat dan salam ke atas Saidina Muhammad SAW dan ke atas keluarga serta sahabat baginda dan segala pujian untuk Allah, Pencipta dan Pentadbir sekalian alam.
🔍
📑 KANDUNGAN BUKU TEKS TAUHID DARJAH VI
Pelajaran 1 Muka Surat 1 – 5

Ahli Sunnah Wal Jamaah

📌 Pengertian & Pengasas Ahli Sunnah Wal Jamaah

Ahli Sunnah Wal Jamaah ialah golongan yang mengikut perjalanan Nabi Muhammad SAW dan sahabat-sahabat baginda.

Golongan Ahli Sunnah Wal Jamaah diasaskan oleh dua orang Imam yang masyhur:

  1. Imam Abu Al-Hassan Al-Asy'ari.
  2. Imam Abu Al-Mansur Al-Maturidi.
🕌 Asas Pegangan Aqidah Ahli Sunnah Wal Jamaah (6 Perkara)

Asas pegangan aqidah Ahli Sunnah Wal Jamaah antaranya ialah:

  1. Keimanan kepada Allah SWT.
  2. Keimanan kepada Rasul dan Nabi.
  3. Keimanan kepada Malaikat.
  4. Keimanan kepada Kitab.
  5. Keimanan kepada Hari Akhirat dan perkara ghaib.
  6. Keimanan kepada Qadha dan Qadar.
1. Keimanan kepada Allah SWT
Allah SWT wajib ada (Wujud). Wujud-Nya kekal selama-lamanya (Qidam). Zat Allah SWT tidak menyerupai makhluk-Nya. Ia tidak berhajat kepada yang lain. Allah SWT amat berkuasa menciptakan sesuatu dikehendaki-Nya tanpa bantuan orang lain.
2. Keimanan kepada Malaikat
Mempercayai adanya Malaikat iaitu makhluk yang dijadikan oleh Allah SWT daripada cahaya. Mereka mempunyai tugas-tugas yang tertentu dan sentiasa taat mengerjakan perintah Allah SWT.
3. Keimanan kepada Rasul dan Nabi
Rasul-rasul itu utusan Allah SWT kepada semua manusia dan diturunkan wahyu kepada mereka dan Nabi Muhammad SAW adalah Nabi terakhir.
4. Keimanan kepada Kitab
Beriman kepada semua kitab yang diturunkan oleh Allah SWT iaitu Taurat, Injil, Zabur dan Al-Quran. Al-Quran ialah kitab yang terakhir diturunkan dan memansuhkan kitab-kitab terdahulu.
5. Keimanan kepada Hari Akhirat & Perkara Ghaib
Mempercayai dan membenarkan bahawa Hari Qiamat akan berlaku. Semua manusia akan dihidupkan semula untuk menerima pembalasan. Mereka juga mempercayai perkara ghaib seperti alam kubur, adanya Sirat, ganjaran Syurga dan pembalasan Neraka.
6. Keimanan kepada Qadha dan Qadar
Sesuatu yang berlaku dan akan terjadi telah ditentukan oleh Allah SWT sejak azali lagi. Segala perbuatan manusia telah ditetapkan oleh Allah SWT. Manusia hanya berusaha dan berikhtiar.
📝 Soalan Penilaian Buku Teks (Muka Surat 5)
  1. Apa yang dimaksudkan dengan Ahli Sunnah Wal Jamaah?
  2. Siapa pengasas aqidah Ahli Sunnah Wal Jamaah?
  3. Jelaskan pegangan Ahli Sunnah Wal Jamaah mengenai keimanan kepada Allah SWT?
Pelajaran 2 Muka Surat 6 – 9

Ajaran Sesat di Negara Brunei Darussalam

📌 Pengertian Ajaran Sesat

Ajaran sesat ialah apa jua ajaran, kepercayaan, perbuatan atau amalan yang menyeleweng dan bertentangan dengan ajaran Islam.

⚠️ Ciri-ciri Ajaran Sesat (7 Perkara)

Di antara ciri-ciri ajaran sesat ialah:

  1. Kepercayaan kepada rukun-rukun iman dan asas-asas aqidah yang bertentangan dan tidak selaras dengan aqidah Ahli Sunnah Wal Jamaah seperti mempercayai adanya kitab lain yang menyaingi atau memansuhkan kitab suci Al-Quran, mempercayai ada kiblat lain selain Kaabah dan seumpamanya.
  2. Mempertikaikan kebenaran Al-Quran atau Al-Hadith.
  3. Mana-mana ketua kumpulan atau sebarang orang yang mendakwa diri sendiri atau orang lain sebagai Nabi terakhir atau sebagai Nabi Isa a.s. atau sebagai Imam Mahdi Al-Muntazar atau lain-lain.
  4. Kepercayaan kepada penyatuan beberapa agama terbesar di dunia sebagai agama yang sepatutnya menjadi anutan kepada umat manusia.
  5. Pendewaan diri atau pemimpin, atau kumpulan ajaran tersebut yang bertentangan dengan aqidah Ahli Sunnah Wal Jamaah seperti memastikan dirinya atau gurunya adalah ahli syurga, boleh menebus dosa, memiliki keistimewaan yang tidak dimiliki oleh orang lain umpamanya boleh berkahwin lebih daripada empat.
  6. Mengadakan bidaah atau pendapat baru yang bertentangan dengan aqidah dan syariah seperti menghapuskan kewajipan berjihad, sembahyang Jumaat, puasa bulan Ramadhan, menunaikan fardu haji ke Makkah dan seumpamanya.
  7. Mentafsir dan menghuraikan Al-Quran dan Al-Hadith mengikut sesuka hati.
📝 Soalan Penilaian Buku Teks (Muka Surat 9)
  1. Apa yang dimaksudkan dengan ajaran sesat?
  2. Sebutkan lima ciri-ciri ajaran sesat.
Pelajaran 3 Muka Surat 10 – 14

Sebab-sebab Timbulnya Ajaran Sesat

🔍 Punca Berlakunya Ajaran Sesat di Kalangan Masyarakat Islam (6 Perkara)

Punca berlakunya ajaran sesat di kalangan masyarakat Islam di antaranya ialah:

  1. Jahil terhadap ajaran Islam. Jahil dalam erti kata tidak dapat membezakan di antara kebenaran dan kebatilan.
  2. Berhukum menurut hawa nafsu dan akal. Golongan ajaran sesat lebih mengutamakan kehendak yang bersesuaian dengan nafsu dan akal mereka daripada nas-nas Al-Quran dan Al-Hadith.
  3. Keinginan untuk mengetahui atau mendapatkan rahsia alam ghaib seperti menyeru roh orang mati untuk mengetahui keadaan yang dialami oleh roh tersebut.
  4. Mengambil keuntungan bagi kepentingan peribadi iaitu mengarahkan pengikutnya membayar zakat kepadanya atau melakukan nikah batin dengannya.
  5. Terpengaruh dengan fahaman agama-agama lain seperti percaya terhadap tuhan masuk ke dalam jasad manusia.
  6. Keinginan untuk mendapat martabat yang tinggi dan memiliki kelebihan luar biasa, seperti menjadi wali Allah, kebal, boleh berjalan di atas air dan dijamin masuk syurga.
💥 Kesan Ajaran Sesat Kepada Masyarakat Islam (4 Perkara)

Kesan ajaran sesat kepada masyarakat Islam di antaranya ialah:

  1. Wujudnya pemikiran baru yang dibawa oleh pengikut ajaran sesat seperti gerakan anti-hadis akan menimbulkan pertentangan hebat di kalangan masyarakat yang boleh membawa kepada pertelingkahan, perselisihan dan pertumpahan darah.
  2. Kepercayaan dan amalan yang dibawa oleh ajaran sesat seperti menganggap martabat mereka sudah cukup tinggi, dengan itu mereka tidak perlu lagi mendirikan sembahyang, berpuasa dan menunaikan fardu haji mengakibatkan meluasnya kesesatan dan penyelewengan aqidah dan ibadat.
  3. Terlampau percaya kepada pemimpin ajaran sesat dan sanggup menghabiskan masa dan harta untuk kepentingan kumpulan menyebabkan berlakunya keretakan dalam keluarga.
  4. Membentuk satu kumpulan yang sanggup berkorban demi ketuanya yang bercita-cita untuk menjadi pemimpin negara dan ini akan mengancam keamanan dan kestabilan negara.
📝 Soalan Penilaian Buku Teks (Muka Surat 14)
  1. Tulis punca berlakunya ajaran sesat di kalangan masyarakat Islam.
  2. Tulis tiga kesan-kesan ajaran sesat kepada masyarakat Islam.
Pelajaran 4 Muka Surat 15 – 18

Ajaran Jamaah Al-Arqam

📜 Latar Belakang Jamaah Al-Arqam (5 Perkara)
  1. Jamaah Al-Arqam diasaskan oleh Ashaari bin Muhammad dari Malaysia.
  2. Penubuhannya berkait rapat dengan kemunculan Tariqat Muhammadiyah yang diasaskan oleh Syeikh Muhammad bin Abdullah Suhaimi.
  3. Jamaah ini mudah dikenali menerusi pakaian mereka iaitu jubah dan serban berwarna hijau bagi lelaki dan purdah serba hitam bagi perempuan.
  4. Ajaran kumpulan ini berkembang ke beberapa buah negara lain.
  5. Ajaran ini masuk ke Negara Brunei Darussalam pada tahun 1980.
⚠️ Penyelewengan Ajaran Jamaah Al-Arqam (4 Perkara)

Penyelewengan ajaran Jamaah Al-Arqam di antaranya adalah:

  1. Kumpulan ini mempercayai bahawa Syeikh Muhammad bin Abdullah Suhaimi berjumpa dan menerima Aurad Muhammadiyah dari Rasulullah SAW di dalam Kaabah secara sedar.
  2. Mempercayai Syeikh Muhammad bin Abdullah Suhaimi tidak mati hanya ghaib dan akan muncul sebagai Imam Mahdi.
  3. Meminta pertolongan daripada Syeikh Muhammad bin Abdullah Suhaimi dengan cara menyeru namanya kerana mereka mempercayainya bahawa dia belum mati.
  4. Mengadakan Majlis Yaqazah:
    • (1) Perkataan Yaqazah bererti sedar atau jaga (bukan mimpi).
    • (2) Majlis Yaqazah ialah majlis bertaubat atau memastikan bahawa ahli-ahli Arqam berada di dalam ketaatan serta mematuhi arahan kepimpinan Ashaari bin Muhammad.
📝 Soalan Penilaian Buku Teks (Muka Surat 18)
  1. Siapa yang mengasaskan Jamaah Al-Arqam?
  2. Tulis tiga penyelewengan Jamaah Al-Arqam.
Pelajaran 5 Muka Surat 19 – 21

Ajaran Tariqat Abdul Razak

📜 Latar Belakang Tariqat Abdul Razak (2 Perkara)
  1. Tariqat ini diasaskan oleh Abdul Razak bin Haji Muhammad.
  2. Abdul Razak mendakwa bahawa dia mendapat ilmu agama secara terikan melalui bisikan suara-suara ghaib ke telinganya. Konon suara-suara itu adalah bisikan roh para nabi dan wali ghaib yang dikenalinya sebagai ilmu makrifat dan ilmu itu disampaikan kepada pengikut-pengikutnya.
⚠️ Penyelewengan Ajaran Tariqat Abdul Razak (3 Perkara)
  1. Menghadirkan roh (Tahdhir Al-Arwah) dengan cara memanggil roh orang yang mati, jin, iblis dan syaitan dan memasukkan roh-roh itu ke dalam jasad pembantunya. Selepas itu suara pembantunya akan menyerupai seperti roh berkenaan.
  2. Hulul wat Tajsim (حُلُول وَٱلتَّجۡسِيم) iaitu penjelmaan Allah ke dalam jasad Rasulullah SAW sehingga bersatu keduanya.
  3. Abdul Razak mendakwa bahawa dirinya sebagai Wali Allah. Dia menghadiri perjumpaan khas dengan Rasulullah SAW.
📝 Soalan Penilaian Buku Teks (Muka Surat 21)
  1. Tulis dakwaan Abdul Razak tentang dirinya.
  2. Siapa pengasas Tariqat Abdul Razak?
  3. Tulis dua penyelewengan ajaran Tariqat Abdul Razak.
Pelajaran 6 Muka Surat 22 – 24

Ajaran Tariqat Mufarridiyyah

📜 Latar Belakang Tariqat Mufarridiyyah (3 Perkara)
  1. Tariqat ini diasaskan oleh Syeikh Muhammad Makmun bin Yahya. Berasal dari Tanjung Pura, Langkat, Sumatera Utara.
  2. Tariqat ini mula tersebar pada tahun 1375H bersamaan dengan 1955/1956M iaitu sekembali Syeikh Muhammad Makmun dari Makkah ke kampungnya. Pada mulanya beliau membuka pengajian ilmu agama dengan memasukkan ilmu-ilmu kecil di dalamnya seperti ilmu kebal.
  3. Tariqat ini masuk ke Negara Brunei Darussalam dalam tahun 1973.
⚠️ Penyelewengan Ajaran Tariqat Mufarridiyyah (4 Perkara)
  1. Syeikh Muhammad Makmun mendakwa bahawa nama tariqat ini diambil dari perkataan yang dikatakan terdapat dalam hadis Rasulullah SAW iaitu Sabaqal Mufarridun (سَبَقَ ٱلۡمُفَرِّدُون).
  2. Syeikh Muhammad Makmun mendakwa bahawa Malakul Ilham (مَلَكُ ٱلۡإِلۡهَام) telah turun kepadanya lalu mengajar zikir Allah untuk diamalkan selepas sembahyang fardu.
  3. Syeikh Muhammad Makmun mendakwa adanya dua malaikat iaitu Malaikat Karagaz (كراڬز) dan Malaikat Karanaz (كرانز) dan boleh bertawasul dengannya.
  4. Syeikh Muhammad Makmun mendakwa dapat menentukan kubur wali-wali Allah.
📝 Soalan Penilaian Buku Teks (Muka Surat 24)
  1. Siapa pengasas Tariqat Mufarridiyyah?
  2. Bilakah tariqat ini mula tersebar?
  3. Tulis tiga penyelewengan ajaran Tariqat Mufarridiyyah.
Pelajaran 7 Muka Surat 25 – 27

Ajaran Qadiani

📜 Latar Belakang Ajaran Qadiani (4 Perkara)
  1. Ajaran Qadiani diasaskan oleh Mirza Ghulam Ahmad Qadiani di India pada tahun 1889. Ajaran Qadiani diambil dari nama kampung tempat lahir Mirza Ghulam Ahmad iaitu Qadian, India.
  2. Mirza Ghulam Ahmad mendakwa bahawa dia sebagai Nabi yang menerima wahyu daripada Allah SWT.
  3. Ia mendakwa bahawa dia sebagai Al-Masih Al-Muntazar (ٱلۡمَسِيحِ ٱلۡمُنۡتَظَر).
  4. Ajaran ini mula dikesan di Negara Brunei Darussalam pada tahun 1989.
⚠️ Penyelewengan Ajaran Qadiani (5 Perkara)
  1. Mengaku sebagai Nabi dan Rasul, menerima wahyu daripada Allah SWT.
  2. Mendakwa bahawa masih ada Nabi dan Rasul selepas Nabi Muhammad SAW.
  3. Mengubah dan meminda ayat-ayat Al-Quran.
  4. Mempercayai bahawa Mirza Ghulam Ahmad itu diutus oleh Allah SWT untuk menyempurnakan agama Islam yang masih kurang.
  5. Ibadat haji itu berpindah ke Qadian.
📝 Soalan Penilaian Buku Teks (Muka Surat 27)
  1. Siapa yang mengasaskan ajaran Qadiani?
  2. Tahun berapa ajaran Qadiani muncul di Brunei?
  3. Tulis tiga penyelewengan ajaran Qadiani.
Pelajaran 8 Muka Surat 28 – 31

Ajaran Bahai

📜 Latar Belakang Ajaran Bahai (5 Perkara)
  1. Ajaran ini dikenali dengan nama Baha'iyyah atau Babiyyah atau Baha'isme.
  2. Pengasasnya ialah Mirza Muhammad Ali dan beliau digelar sebagai “Al-Bab”.
  3. Ajaran ini mula wujud di Syiraz, selatan Iran.
  4. Ketika kecil beliau belajar buku-buku mengenai perdukunan, sihir dan astrologi.
  5. Ajaran Bahai dikesan masuk ke Negara Brunei Darussalam pada tahun 1961.
⚠️ Penyelewengan Ajaran Bahai (7 Perkara)
  1. Mendakwa sebagai Imam Mahdi dan menyebarkan fahaman baharu yang digelar Mazhab Babiyyah.
  2. Mendakwa menerima wahyu Allah SWT dan diturunkan kepadanya Kitab Al-Bayan.
  3. Mengajak kepada kesatuan agama dunia yang satu (Agama Bahai) yang menyatukan agama Yahudi, Nasrani dan Islam dengan alasan bahawa supaya seluruh bangsa tidak bermusuhan lagi seperti yang sering berlaku.
  4. Mirza Muhammad Ali mendakwa bahawa dia sebagai khalifah dari Nabi Musa a.s., Nabi Isa a.s. dan Nabi Muhammad SAW.
  5. Memansuhkan kewajipan berjihad.
  6. Mendakwa dirinya sebagai rasul dan menyangka syariatnya itu memansuhkan syariat Islam.
  7. Menjadikan puasa 19 hari, sembahyang 3 waktu sehari semalam dikerjakan dalam 3 rakaat. Kiblat berada di Al-Baha' dan mendakwa bahawa haji dilakukan di Rumah An-Nuqtah di Syiraz atau di Rumah Baha'ullah di Baghdad bukannya di Baitullah di Makkah.
📝 Soalan Penilaian Buku Teks (Muka Surat 31)
  1. Siapa yang menubuhkan ajaran Bahai dan apa gelarannya?
  2. Di mana mula-mula ajaran ini dikesan?
  3. Tulis tiga penyelewengan ajaran Bahai.
Pelajaran 9 Muka Surat 32 – 34

Ajaran Saihuni bin Tasipan

📜 Latar Belakang Saihuni bin Tasipan (3 Perkara)
  1. Saihuni bin Tasipan adalah berasal daripada Negeri Johor, Malaysia.
  2. Ajaran ini disebarkan melalui perbomohan.
  3. Ajaran ini masuk ke Negara Brunei Darussalam dalam tahun 1999.
⚠️ Penyelewengan Ajaran Saihuni bin Tasipan (4 Perkara)
  1. Mendakwa boleh memanggil roh orang yang telah mati termasuk roh para nabi dan wali-wali Allah.
  2. Mendakwa mengetahui pintu langit terbuka dua kali selama dia berada di Negara Brunei Darussalam.
  3. Mendakwa dia boleh menentukan diri seseorang yang berpangkat wali atau sebaliknya.
  4. Mendakwa tahu perkara-perkara sulit yang berlaku di Negara Brunei Darussalam.
📝 Soalan Penilaian Buku Teks (Muka Surat 34)
  1. Siapa Saihuni bin Tasipan?
  2. Tulis tiga penyelewengan Saihuni bin Tasipan.
Pelajaran 10 Muka Surat 35 – 36

Ajaran Pergerakan Al-Ma'unah

📜 Latar Belakang Pergerakan Al-Ma'unah (3 Perkara)
  1. Pergerakan Al-Ma'unah diasaskan oleh Mohamed Amin bin Razali.
  2. Berasal dari Perak, Malaysia.
  3. Ajaran ini masuk ke Negara Brunei Darussalam dalam tahun 2000.
⚠️ Penyelewengan Ajaran Pergerakan Al-Ma'unah (3 Perkara)
  1. Mempercayai tangkal dan azimat seperti memakai kain kuning di pinggang atau di badan bagi tujuan kekebalan.
  2. Mendakwa mengetahui kuasa-kuasa ghaib pada bila-bila masa diperlukan.
  3. Mengamalkan kebatinan dalam perbomohan dan jampi.
📝 Soalan Penilaian Buku Teks (Muka Surat 36)
  1. Siapa mengasas Pergerakan Al-Ma'unah?
  2. Tulis tiga penyelewengan Pergerakan Al-Ma'unah.
Tiada pelajaran atau kata kunci yang sepadan dengan carian biskita. Cuba kata kunci lain!
⬆️ Atas